Pengundian, pemilihan Ketua Kampung Jerudong ‘A’, Sengkurong ‘B’, Selayun





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





SENGKURONG, Ahad, 14 Jun. - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon-Calon Ketua Kampung bagi Kampung Jerudong 'A', Kampung Sengkurong 'B' dan Kampung Selayun telah berlangsung hari ini di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, di sini.


Hadir mengalu-alukan para pengundi dan tetamu ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Mohammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong, Awang Haji Mohd. Zaidin bin Haji Mohd. Noor.


Bagi jawatan Ketua Kampung Jerudong 'A', calon tunggal yang bertanding ialah Awang Mohammad Nazmi Fa'iz bin Haji Abu Bakar, 34 tahun, mendapat sebanyak 225 undian.


Beliau merupakan pemegang Diploma Tertinggi Kebangsaan (BTEC Level 5) dalam bidang Diploma in Computer and Systems Development dari Laksamana College of Business pada tahun 2015 dan kini menjalankan tugas sebagai Pemangku Ketua Kampung Jerudong 'A' sejak September 2022.


Sementara itu, bagi jawatan Ketua Kampung Sengkurong 'B', calon tunggal ialah Awang Mohammad Shahrizan bin Masri, 49 tahun, mendapat sebanyak 123 undian, yang menetap di kampung berkenaan.


Beliau berkelulusan BTEC National Diploma dalam Computer Studies dari Micronet International College pada tahun 2011 dan kini berkhidmat sebagai Penolong Operasi Kanan, Kejuruteraan, Jabatan Radio Televisyen Brunei.


Manakala bagi jawatan Ketua Kampung Selayun, calon tunggal yang bertanding ialah Awang Muhammad Faris Syah bin Haji Hanafi, 34 tahun, mendapat sebanyak 35 undian.


Beliau berkelulusan Diploma dalam Business and Finance daripada Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa pada tahun 2014 dan merupakan penduduk Kampung Selayun.


Acara seterusnya menyaksikan proses pengesahan keputusan undian yang dilaksanakan menerusi aplikasi mudah alih e-Undi PMKK serta pengiraan kertas undi yang telah dijalankan sepanjang tempoh pengundian bagi ketiga-tiga kampung berkenaan.


Pemilihan Ketua Kampung adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kepimpinan akar umbi yang berwibawa dan berkesan dalam membantu memelihara kesejahteraan, perpaduan serta pembangunan masyarakat di peringkat kampung.


Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

 

Close